PETALING JAYA: Seorang bekas pemimpin Umno mencadangkan PAS mengambil alih peranan ketua pembangkang daripada Hamzah Zainudin sambil menyifatkan prestasi presiden Wawasan itu kurang menyerlah ketika perbahasan Belanjawan 2027.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Puad Zarkashi, berkata Hamzah gagal mengemukakan cadangan atau dasar baharu dalam perbahasan belanjawannya, sebaliknya hanya menyentuh mengenai "enjin pertumbuhan ekonomi berimpak besar".
"Hamzah sendiri tidak mencadangkan apa enjin pertumbuhan ekonomi, jika PAS-Wawasan memerintah.
"Sampai masanya PAS ambil alih peranan ketua pembangkang dan tonjolkan 'poster boy' mereka sendiri," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau mendakwa PAS mengekalkan Hamzah sebagai ketua pembangkang ketika ini bagi memastikan sokongan Wawasan kekal "hingga PAS benar-benar jadi dominan berbanding Umno".
Puad berkata, pihak pembangkang juga gagal membentangkan belanjawan alternatif berbanding Bersama pimpinan Rafizi Ramli yang mengemukakan "belanjawan bayangan" minggu lalu.
Bagaimanapun, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, Rafizi terlepas peluang membentangkan belanjawan partinya di Parlimen memandangkan beliau dan pemimpin Bersama lain telah melepaskan jawatan Ahli Parlimen.
"Rafizi tidak bertanggungjawab. Dia meletak jawatan kerana pentingkan diri sendiri. Dia takut implikasi akta antilompat parti dan bon parti RM10 juta sebagai Ahli Parlimen PKR)."
Hamzah dilantik ketua pembangkang sejak Disember 2022, walaupun beliau berundur seketika antara April hingga Jun lalu selepas dipecat Bersatu.
Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga pengerusi Perikatan Nasional mengambil alih peranan itu seketika, sebelum Hamzah kembali sebagai ketua pembangkang Jun lalu.
