KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan keberkesanan program kesihatan mental di sekolah, memetik dakwaan ketiadaan perkongsian data antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mendakwa KPM mempunyai data yang mampu membantu KKM mengenal pasti murid yang memerlukan intervensi.
"Kalau KKM sendiri tidak ada data itu, mana mungkin mereka dapat membuat intervensi itu dengan secara bersasar dan berkesan?" katanya.
Menerusi inisiatif Minda Sihat, saringan masalah kesihatan mental dijalankan terhadap murid, manakala kaunselor sekolah memberi bantuan awal kepada mereka yang dikenal pasti berisiko.
Awal bulan ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memaklumkan Dewan Rakyat, murid yang memerlukan penilaian lanjut atau rawatan akan dirujuk ke fasiliti di bawah kementeriannya.
Pihak sekolah bagaimanapun perlu berbincang dengan ibu bapa atau penjaga terlebih dahulu sebelum merujuk murid ke klinik atau hospital kerajaan untuk menerima rawatan.
Ketika dihubungi kemudian, Mas Ermieyati berkata, satu sumber memaklumkan kepadanya bahawa kedua-dua kementerian tidak berkongsi data berkaitan.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai isu buli serta tingkah laku ganas dalam kalangan murid sekolah.
Merujuk laporan Berita Harian, beliau berkata, Tribunal Anti-Buli menerima 61 aduan sepanjang tempoh tiga bulan, dengan kes buli fizikal mencatatkan angka tertinggi disusuli buli dari segi psikologi.
"Dan ini angka yang menakutkan. Bagaimana dengan kes buli yang tidak diadukan?" katanya.
Mas Ermieyati berkata, guru lazimnya bertanggungjawab ke atas 30 hingga 40 murid di dalam sesebuah bilik darjah, menyukarkan mereka mengesan kanak-kanak yang mengalami gangguan emosi, berdepan masalah pembelajaran atau memerlukan bantuan makanan.
“Guru bukan mesin. Tanpa sokongan yang wajar, bagaimana mereka hendak kenal pasti murid yang tertekan, hadapi kesukaran dalam pelajaran, atau memerlukan makanan?”
Beliau juga khuatir tentang pendedahan keterlaluan kepada skrin sehingga melemahkan rasa empati kanak-kanak, sambil mempersoalkan sama ada pengaruh ideologi ekstremis yang ganas sudah mula mempengaruhi murid-murid.
