CHUKAI: Seekor tapir jantan dewasa seberat kira-kira 250kg yang tersesat di Kelab Golf dan Rekreasi Petronas (KRGP) Kerteh berjaya ditangkap dan dipindahkan ke hutan, semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung, berkata operasi dijalankan empat anggota jabatan itu dari Kemaman selepas menerima maklumat kehadiran haiwan tersebut pada 11 pagi.
“Petugas terlibat memulakan operasi pada 12.30 tengah hari dengan menggunakan dron untuk mengesan kedudukan tapir itu sebelum operasi menangkap dan pemindahan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan fizikal mendapati tapir spesies Tapirus Indicus dengan panjang keseluruhan 160cm itu dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan.
Katanya, lokasi kejadian terletak kira-kira 300m dari Hutan Simpan Bukit Palus.
