MUAR: Dua warga emas, seorang bayi dan seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM107, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Pagoh petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba Pagoh, Mohd Hafiz Mohd Shahid berkata sebaik menerima panggilan pada 5.19 petang, tujuh anggota bersama dengan jentera FRT dikerah ke lokasi kejadian.
Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati tiga kenderaan, iaitu pacuan empat roda jenis Ford Ranger, kereta Toyota Vios dan lori treler jenama Scania terlibat dalam kemalangan.
“Dalam kemalangan itu, didapati Ford Ranger telah melanggar bahagian belakang lori yang diparkir di tepi jalan sebelum dilanggar oleh Toyota Vios.
“Empat mangsa yang menaiki Ford Ranger membabitkan dua wanita warga emas dan seorang kanak-kanak berusia lima tahun serta bayi berumur sembilan bulan disahkan meninggal di lokasi manakala seorang lelaki berusia 40-an dan seorang mangsa lain mengalami kecederaan,” menurutnya dalam kenyataan.
Hafiz berkata mangsa yang menaiki Toyota Vios, iaitu seorang lelaki berusia 70-an dan seorang wanita berusia 35 tahun turut cedera manakala seorang lagi lelaki dipercayai pemandu treler selamat.
Beliau berkata mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke hospital manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, dan operasi ditamatkan pada 6.11 petang.
