PETALING JAYA: Veteran Umno membidas Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa kerana mempersoalkan pendirian parti itu berhubung isu kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Setiausaha, Mustapha Yaakub, berkata Umno tahu menguruskan hal sendiri tanpa campur tangan pihak lain.
“Saya nasihatkan Mujahid tidak bersusah-payah nak ambil peduli tentang Umno.
“Kami tahulah urusan kami. Jagalah dalam kain sendiri daripada menyibuk hal dalam kain orang lain,” katanya kepada FMT.
Mustapha turut menggesa Mujahid menumpukan perhatian kepada kempen PRN Melaka bagi membantu calon Amanah meraih kemenangan.
Beliau mengulas desakan Mujahid supaya Umno menjelaskan sama ada parti itu mengetahui atau merestui surat yang didakwa dihantar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.
Desakan itu susulan beberapa video tular di media sosial, Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan individu bahawa Ismail mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan menyatakan baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar.
Baginda turut mempersoalkan tujuan Ismail berhasrat menemuinya.
Semalam, Mujahid berkata rakaman titah kemurkaan Tuanku Muhriz terhadap Ismail bukan perkara kecil yang boleh didiamkan Umno.
