Ketua Merinyu Projek Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa kerjasama semua pihak bagi menangani isu kelewatan Projek Pan Borneo Sabah.
KOTA KINABALU: Kelewatan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, perlu ditangani menerusi kerjasama semua pihak berkaitan, termasuk kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, perunding dan kontraktor bagi memastikan projek itu dapat disiapkan tanpa kelewatan berulang.
Ketua Merinyu Projek Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kelewatan projek berkenaan, tidak wajar diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri Sabah, kerana pelaksanaannya melibatkan pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan yang memerlukan penyelarasan antara agensi serta pihak berkaitan.
“Lebih 70 peratus daripada projek itu melibatkan kerja pelebaran jalan Persekutuan sedia ada, daripada dua kepada empat lorong, yang memerlukan pengambilan tanah, pengendalian isu bangunan dan penempatan penduduk serta pemindahan utiliti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Salleh berkata antara punca utama kelewatan itu ialah perubahan reka bentuk asal yang tidak sepenuhnya menepati keadaan sebenar di tapak, sekali gus memerlukan penelitian dan penyelarasan oleh perunding serta pakar teknikal yang dilantik Kementerian Kerja Raya (KKR).
Beliau berkata setiap perubahan reka bentuk itu juga, boleh menyebabkan pertambahan kos yang memerlukan penilaian teknikal dan kelulusan kewangan daripada KKR serta Kementerian Kewangan (MOF), manakala proses kelulusan yang panjang berpotensi menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek.
Salleh berkata KKR dan MOF, perlu menyediakan mekanisme kelulusan yang lebih cepat dan jelas khususnya bagi Arahan Perubahan Kerja (VO) dan pelarasan had kewangan bagi mengelakkan kelewatan sama berulang.
Beliau bekata mekanisme itu juga dimasukkan dalam kontrak asal atau dimuktamadkan menerusi perjanjian tambahan, bagi memperjelas proses membuat keputusan serta tanggungjawab setiap pihak.
“Rakyat Sabah tidak memerlukan budaya saling menyalahkan. Mereka mahu melihat lebuh raya ini disiapkan. Apa yang diperlukan ialah kerjasama lebih erat, keputusan lebih pantas dan kelulusan yang lebih cekap. Keutamaan kita mesti jelas, kurangkan kelewatan, percepatkan pelaksanaan dan siapkan projek demi rakyat Sabah,” katanya.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2026 mendedahkan 13 penemuan utama berkaitan kelemahan pengurusan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 apabila 35 pakej kerja keseluruhan bagi LPB Sabah Fasa 1, hanya empat pakej telah siap manakala 31 pakej lagi masih dalam pelaksanaan setakat 25 Ogos tahun ini.
