PETALING JAYA: Kerajaan tidak membuat persetujuan atau komitmen untuk memberi sebarang bentuk bantuan kepada syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, yang berdepan masalah kewangan susulan kesan konflik di Timur Tengah, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan mengambil maklum isu kerugian besar dialami AirAsia akibat lonjakan harga bahan api jet.
Jelasnya, kerajaan mengadakan libat urus berkala dengan pemain industri penerbangan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai impak krisis Timur Tengah, seperti yang dilakukan dengan pihak berkepentingan dalam sektor lain yang turut terjejas.
"Sebarang permohonan sokongan kerajaan, daripada mana-mana syarikat dalam apa jua sektor, dipertimbangkan berdasarkan kepentingan negara dan rakyat, kemampanan fiskal Kerajaan serta perlindungan dana awam, selaras undang-undang dan prosedur.
"Setakat ini, kerajaan tidak membuat sebarang persetujuan atau komitmen untuk memberikan sokongan pembiayaan kepada AirAsia, sama ada dalam bentuk jaminan, pinjaman atau suntikan dana awam," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam).
Wee meminta Anwar menyatakan sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk membantu AirAsia memandangkan syarikat itu sedang menghadapi masalah kewangan.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan AirAsia dengan teliti dan tidak akan mengulas spekulasi yang dilaporkan media.
Reuters sebelum ini melaporkan AirAsia sedang berusaha mengumpul sehingga USD1 bilion (RM4.08 bilion) daripada pasaran hutang antarabangsa dan mendapatkan kemudahan kredit tempatan berjumlah RM700 juta, khasnya untuk pembiayaan semula hutang sedia ada.
AirAsia kendali 66% penerbangan Malaysia Timur pada 2025
Anwar bagaimanapun berkata, AirAsia memainkan peranan penting dalam menyediakan ketersambungan udara ke Sabah dan Sarawak, dengan mengendalikan 66% penerbangan dari dan ke negeri Malaysia Timur tahun lalu.
Beliau berkata, syarikat penerbangan itu mengendalikan 62% penumpang udara di Sabah dan 70% di Sarawak pada 2025, tidak termasuk lapangan terbang landasan pendek (STOLport).
"Lapangan terbang dengan bahagian penumpang AirAsia tertinggi di kedua-dua negeri tersebut ialah Sibu (79%), Bintulu (77%), Sandakan (75%), Kuching (72%), Tawau (70%), Miri (63%) dan Kota Kinabalu (62%).
"Di Semenanjung Malaysia, antara negeri dengan peratusan penumpang AirAsia yang tinggi termasuk Johor (70%), Terengganu (56%), Kedah (56% di Langkawi dan 49% di Alor Setar) dan Kelantan (46%).
"Di Terminal 2 KLIA, AirAsia membawa tiga perempat daripada jumlah (keseluruhan) penumpang."
Di peringkat nasional, Anwar berkata, syarikat penerbangan tambang rendah itu mengendalikan 41% daripada 104.5 juta penumpang di lapangan terbang seluruh negara, dengan hampir 60% daripadanya penumpang domestik.
