PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen kecewa apabila Belanjawan 2027 tidak turut mengandungi pengumuman bahawa kerajaan akan menggubal rang undang-undang (RUU) bagi menjamin peruntukan kawasan bagi semua wakil rakyat tanpa mengira kaitan politik.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata, beliau kekal bimbang kerana 'masih tiada undang-undang atau garis panduan yang mewajibkan peruntukan kawasan diberikan kepada semua wakil rakyat'.
Bagaimanapun, tegasnya, agihan peruntukan tidak sepatutnya sama rata bagi setiap kawasan Parlimen kerana ini tidak adil memandangkan terdapat perbezaan dari segi saiz kawasan dan jumlah pengundi.
“Hakikatnya, ada kawasan Parlimen yang jauh lebih besar daripada kawasan lain. Kalau salurkan jumlah yang sama kepada setiap kawasan, sudah pasti tidak adil,” katanya.
Pada Ogos, Naib Presiden Wawasan Wan Saiful Wan Jan mendakwa DAP sekadar 'bermain wayang' apabila parti itu terus menuntut peruntukan kawasan sama rata bagi semua Ahli Parlimen.
Wan Saiful berkata, tuntutan berkenaan pada dasarnya 'perkara yang baik', namun mempersoalkan mengapa DAP hanya membangkitkannya selepas lebih tiga tahun kerajaan perpaduan mentadbir.
"Tuntutan ini adalah perkara yang baik. Tapi ia wayang saja, sebab kalau DAP serius kenapa tak tuntut dari awal?" soalnya menerusi hantaran Facebook.
Wan Saiful berkata demikian selepas Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyalurkan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen dan memaktubkan amalan tersebut menerusi perundangan.
Gobind berkata, kepimpinan DAP telah beberapa kali berbincang dengan Anwar mengenai janji Pakatan Harapan untuk memastikan agihan peruntukan yang adil kepada setiap wakil rakyat.
