PETALING JAYA: Sabah Electricity Sdn Bhd digesa menambah genset bergerak di tiga sekolah menengah berasrama di Tongod susulan kerosakan dua transformer utama yang menjejaskan bekalan elektrik di daerah itu sejak minggu lalu.
Adun Kuamut Masiung Banah berkata bekalan sementara perlu disalurkan segera ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, SMK Penangah dan SMK Entilibon kerana asrama di sekolah berkenaan bergelap pada waktu malam.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pelajar terpaksa menggunakan cahaya lilin untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran, termasuk mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Saya menerima aduan daripada guru dan ibu bapa bahawa pelajar terpaksa mengulang kaji menggunakan cahaya lilin di asrama dan rumah sejak minggu lalu kerana ketiadaan bekalan elektrik.
“Saya menggesa Sabah Electricity menambah genset bergerak di tiga sekolah terbabit bagi membantu calon SPM dan STPM belajar dan membuat persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya dalam kenyataan.
Masiung berkata empat genset bergerak berkapasiti keseluruhan 2,000kW sudah ditempatkan sebagai sokongan sementara di Tongod, namun bekalan itu masih tidak mencukupi sehingga menjejaskan operasi tiga sekolah berkenaan.
Menurutnya, beliau dimaklumkan pejabat Sabah Electricity di Telupid bahawa transformer yang membekalkan tenaga elektrik ke Tongod mengalami kerosakan sejak minggu lalu.
Beliau berkata sudah menghubungi pejabat Sabah Electricity di Telupid bagi mendapatkan penjelasan dan berharap genset tambahan dapat dihantar ke tiga sekolah itu sementara kerja membaiki transformer utama dijalankan.
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Tokyo Hasim Omar berkata gangguan bekalan elektrik sering berlaku di Tongod sejak bulan lalu sehingga menjejaskan urusan pentadbiran beberapa jabatan kerajaan.
Beliau berkata kapasiti transformer sedia ada mungkin tidak lagi mampu menampung permintaan semasa berikutan peningkatan jumlah pengguna dari tahun ke tahun.
Tokyo turut menggesa Sabah Electricity menggantikan transformer sedia ada dengan unit berkapasiti lebih besar bagi menampung pertambahan bangunan kerajaan dan kediaman di daerah itu.
