KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyuarakan kekecewaan melihat 'pemikiran jumud' di Parlimen, sedangkan negara memerlukan wakil rakyat berbincang isu ekonomi dan industri.
Anwar membidas perbincangan yang masih terikat dengan pemikiran jumud ketika negara hendak 'menggapai langit' dengan menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI), superkomputer, dan pengkomputeran berprestasi tinggi.
"Tanpa menguasai ini, kita hanya akan ketinggalan, dan ini masalah besar bagi negara kita," katanya dalam ucapan sempena majlis Anugerah Kecemerlangan Industri di Menara Miti.
"Kalau lihat umpamanya perdebatan di Parlimen sekarang, yang diutamakan ialah... tak ada langsung. Perbincangan itu -- 'siapa Islam', 'siapa tak Islam', 'siapa munafik', 'siapa tidak' -- masih lagi terikat dengan kerangka pemikiran jumud, lama, dan kolot."
Anwar merujuk kepada tema Belanjawan 2027 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, "Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi". Bajet itu antara lain menumpukan kepada pendigitalan, pembangunan AI, penyelidikan dan pembangunan, prasarana digital dan keselamatan, serta tenaga hijau.
Anwar bertegas bahawa martabat ekonomi negara tidak boleh diangkat dengan 'pendekatan lama yang kaku'.
"Kalau negara ini mahu dibangunkan, mestilah ada kesediaan generasi baharu dan pihak industri untuk memiliki keupayaan.
"Sebab itu disebut menggapai langit," katanya.
Pada masa sama, Anwar mengingatkan bahawa Malaysia sebuah negara majmuk, dengan pelbagai kaum, agama, sentimen, dan wilayah.
"Bahasa kita, budaya kita, adab kita, kemanusiaan kita -- menghormati sentimen pelbagai kaum, pelbagai agama kerana ini suatu keperluan -- satu imperatif yang tidak boleh kita pinggirkan," katanya.
"Sebab itu kita kata menggapai di langit, tetapi mengakar ke bumi," katanya.
Seterusnya, Anwar menyorot perhatian hadirin kepada kepentingan menyokong pukuhan ribu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar keupayaan mereka setara dengan semangat keusahawan yang tinggi.
Anwar melihat PKS sebagai penentu penting dalam memajukan negara.
"Kalau puluhan ribu SME ini terangkat kedudukan dia menjadi pemain industri yang penting -- kecekalan dia, inovasinya, daya cipta yang kita dukung -- dan kemudian dapat kejayaan untuk menembusi pasaran antarabangsa...penentu kan?
"Maka Kementerian Kewangan, dan saya dalam belanjawan, memutuskan untuk memberikan fokus dalam bentuk pinjaman, penyuntikan, dan beberapa insentif yang telah diperkenalkan," katanya.
