PETALING JAYA: Sebanyak 27 kawasan di seluruh negara mencatatkan kualiti udara tidak sihat setakat 8 pagi ini, dengan bacaan indeks pencemar udara (IPU) di Lembah Klang meningkat.
Johor kekal negeri paling terjejas dengan Pasir Gudang mencatatkan bacaan IPU tertinggi 177, diikuti Kota Tinggi (166), Larkin (164), Pengerang (162), Batu Pahat (154), Kluang (152) dan Tangkak (151).
Di Lembah Klang, bacaan IPU ialah 173 di Klang dan Johan Setia, diikuti Cheras (168), Putrajaya (165), Batu Muda (164), Banting (160), Shah Alam (159) dan Petaling Jaya (154).
Negeri Sembilan turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat di Nilai (174), Port Dickson (165) dan Seremban (160), manakala Melaka merekodkan bacaan sama di Bukit Rambai (169), bandar Melaka (164) dan Alor Gajah (156).
Di pantai timur, Pahang terus mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di Indera Mahkota (155) dan Rompin (153), manakala Terengganu melaporkan keadaan berjerebu di Kemaman (156) dan Paka (155).
Sarawak turut mencatatkan kualiti udara serupa di Serian (153) dan Sri Aman (134).
Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan lebih 300 dikategorikan bahaya.
