KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia yang cedera ringan sedang dirawat di Taiwan akibat kesan Taufan Champi, menurut Kementerian Luar.
Kementerian Luar yang turut dikenali Wisma Putra memaklumkan perkara itu disahkan Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei yang menyediakan bantuan konsular kepada dua mangsa terbabit.
"(Pusat) berkenaan terus berhubung rapat dengan kumpulan pelajar Malaysia dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau perkembangan dan menjaga kebajikan rakyat Malaysia di Taiwan," katanya dalam kenyataan.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai maklumat warga Malaysia yang mungkin memerlukan bantuan di kawasan terjejas, digesa menghubungi Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei menerusi talian +886 972 349 343 atau e-mel mwtaipei@kln.gov.my.
Wisma Putra berkata, pihaknya memantau keadaan dengan teliti susulan impak taufan itu, yang membawa angin kencang, hujan lebat dan gangguan meluas terhadap pengangkutan serta perkhidmatan awam.
Taufan Champi mengakibatkan pembatalan penerbangan dan gangguan perkhidmatan feri, dengan keadaan cuaca buruk dijangka berterusan di beberapa bahagian Taiwan.
Menurut kementerian, pihak berkuasa tempatan telah memindahkan penduduk dari kawasan banjir dan tanah runtuh, termasuk kawasan berhampiran empangan yang dilanda tanah runtuh di Daerah Hualien.
"Rakyat Malaysia yang menetap atau melawat Taiwan dinasihatkan sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan pantai dan pergunungan, selain mematuhi semua arahan keselamatan dan pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan."
Rakyat Malaysia juga digalakkan memantau nasihat cuaca tempatan dan mengelakkan perjalanan tidak perlu ke kawasan terjejas banjir, tanah runtuh atau bahaya berkaitan cuaca lain.
Wisma Putra berkata, memandangkan gangguan pengangkutan berterusan, rakyat Malaysia yang mempunyai rancangan perjalanan dinasihatkan menyemak status penerbangan atau feri secara langsung dengan pengendali sebelum ke lapangan terbang atau terminal.
Kementerian menggalakkan semua rakyat Malaysia mendaftar dan sentiasa mengemas kini butiran perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan akses bantuan konsular tepat pada masanya.
