PETALING JAYA: Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim patut meletak jawatan selepas beliau ditegur secara terbuka oleh pemerintah negeri hari ini, menurut seorang peguam.
Rosli Dahlan berkata, teguran oleh Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mendedahkan Ismail sebagai seorang 'pengkhianat', dan pengkhianatan ialah dosa besar dalam Islam, salah satu sifat munafik yang tidak melayakkan seseorang memegang jawatan awam.
"Letak jawatan dan bertaubat – paling tidak, ini yang Ismail boleh lakukan untuk menebus maruahnya," kata Rosli kepada FMT.
Rosli mendakwa Ismail 'tanpa segan silu' mengangkat sumpah jawatan menteri besar di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos, kemudian menandatangani proklamasi yang dibuat beberapa bulan sebelumnya untuk melucutkan Tuanku Muhriz daripada takhta.
Beliau berkata, Ismail juga membuat laporan polis mendakwa bahawa dokumen itu telah beliau tandatangani secara paksaan dan mengesahkan proklamasi tersebut sebagai tidak sah. Beliau bagaimanapun mendorong ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) mengeluarkan kenyataan mengatakan proklamasi 'tidak sah' itu telah berkuat kuasa sejak 19 April.
"Sikap bolak-balik itu sepatutnya mengundang tindakan menurut undang-undang jenayah. Beliau patut dituduh kerana menyatakan maklumat palsu dan membuat laporan polis palsu. Beliau telah menipu secara terbuka namun tiada tindakan diambil terhadapnya," kata Rosli menambah, pada zaman dahulu, Ismail akan dihukum mati atas pengkhianatannya.
Rakaman memaparkan Tuanku Muhriz menempelak Ismail dimuat naik di media sosial petang tadi, memaparkan Tuanku Muhriz mempersoalkan tujuan Ismail berhasrat menemui baginda.
"Jadi (hari ini) dia nak datang jumpa saya buat apa? Selagi dia tidak tarik balik apa yang dikatakannya sebelum ini, jangan datang jumpa saya. Go away,” titah Tuanku Muhriz yang jelas kelihatan murka, sebelum berpaling ke arah Ismail.
Sebagai respons, Ismail hanya mampu mengangkat sembah.
Teguran Tuanku Muhriz terhadap Ismail berlatarkan krisis perlembagaan di Negeri Sembilan, tercetus apabila empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai undang mengumumkan Tuanku Muhriz dilucutkan takhta selaku pemerintah negeri.
Kumpulan undang yang dipertikaikan itu turut didakwa mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar yang 'baharu'.
Bulan lepas, Ismail menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh barisan exconya yang kononnya mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.
Tuanku Muhriz kemudiannya membatalkan pelantikan keseluruhan barisan exco tersebut.
