KUALA LUMPUR: Enam wanita menerima pengiktirafan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) atas sumbangan dalam bidang teknologi, penyelidikan dan inovasi menerusi Anugerah Wanita dalam Teknologi YTF 2026.
Dalam kategori senior, Aini Ideris memenangi hadiah utama RM30,000, manakala Suraya Abdul Rashid dan Haniza Yon masing-masing menerima RM10,000 bagi Anugerah Bintang Harapan dan Anugerah Pengubah Industri.
Bagi kategori junior, Serene Lock Sow Mun membawa pulang hadiah utama RM15,000, sementara Marlinda Ab Rahman dan Afzan Ahmad Zaini masing-masing menerima RM5,000 bagi dua anugerah khas berkenaan.
Majlis penganugerahan dan makan malam di The Ritz-Carlton, malam tadi, berlangsung sempena ulang tahun ke-80 Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga pengerusi YTF.
Tuanku Lailatul Shahreen bertitah, YTF komited membuka peluang dan mengangkat martabat wanita Malaysia yang berjaya dalam bidang berimpak tinggi.
“Kejayaan penerima ini adalah bukti jelas kepakaran wanita tempatan bukan sahaja setanding di peringkat global, malah menjadi tunjang utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan digital dan teknologi negara,” titah baginda.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Industry-Government Group for High Technology (Might), Rushdi Abdul Rahim, berkata anugerah tersebut bukan sahaja mengiktiraf pencapaian individu, malah bertujuan mendorong lebih ramai wanita menceburi bidang sains, teknologi dan inovasi.
“Kami berharap pengiktirafan ini menjadi pemangkin inspirasi kepada generasi muda wanita untuk terus meneroka bidang sains, teknologi, dan inovasi,” katanya.
YTF ditubuhkan Tuanku Tengku Fauziah di Kuala Lumpur pada 19 April 2004 dengan moto Women in Search of Excellence (WiSE).
