Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah bernilai RM6.8 juta selepas menahan seorang jurulatih renang di Melaka dan menyerbu kediaman di Johor.
JASIN: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah susulan rampasan pelbagai jenis bahan terlarang itu yang dianggarkan bernilai RM6.8 juta menerusi serbuan di Melaka serta Johor, masing-masiing semalam dan hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin Superintenden Lee Robert berkata seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan dalam serbuan pertama di kawasan Plaza Tol Lipat Kajang di sini kira-kira 11.30 pagi semalam selepas dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan terhadap kereta Toyota Vios dipandu suspek menemukan dadah disyaki jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 27.5 kilogram (kg) dan ketamin seberat 3.70 gram (g).
“Hasil soal siasat suspek membawa kepada serbuan di Johor yang dilaksanakan dengan kerjasama pasukan siasatan jenayah narkotik negeri itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di sini hari ini.
Beliau berkata serbuan kedua kira-kira 4.50 pagi tadi melibatkan sebuah kediaman di Johor Bahru yang membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah serta peralatan disyaki digunakan untuk pembungkusan dan penyimpanan dadah.
Lee berkata antara dadah yang dirampas ialah MDMA seberat 17.8 kg, ketamin (29 g), pil Erimin 5 (21.60 g) dan pil ekstasi (32.2 g).
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai jurulatih renang dan disyaki terlibat dalam kegiatan memproses, membungkus serta mengedar dadah, selain dipercayai aktif sejak tahun ini.
“Modus operandi suspek adalah menjadikan premis kediaman sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum mengedarkan bekalan… saringan air kencing mendapati suspek positif ketamin,” katanya.
Lee berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran, sumber bekalan dan individu lain yang mungkin terlibat.
“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
