PETALING JAYA: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mempersoalkan kegagalan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendamaikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Shuhaily Zain, dengan dua anggota polis sehingga kes itu dibawa ke mahkamah.
Katanya, pertelingkahan antara agensi kerajaan yang berakhir dengan pendakwaan di mahkamah tidak memberikan imej baik kepada penjawat awam.
“Kenapa menteri dalam negeri tidak mengambil pendekatan untuk mendamaikan kedua-dua belah pihak.
“Kenapa perlu mendedahkan pertelingkahan antara agensi sehingga ada pihak didakwa di mahkamah,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Semalam, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis, Faiz Saman dan Ekmal Sofwan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Sept.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Wan Fayhsal turut menggesa Saifuddin menarik balik kes itu.
Dalam perkembangan berasingan, Wan Fayhsal menggesa kerajaan menilai risiko keselamatan pembekal teknologi yang bakal terlibat dalam pembangunan Sovereign AI Cloud.
Katanya, penilaian itu penting bagi melindungi maklumat sensitif, khususnya data berkaitan tentera, polis dan anggota keselamatan negara.
“Kerajaan perlu memastikan pembekal yang dipilih tidak menjejaskan keselamatan maklumat serta kedaulatan digital negara,” katanya.
Beliau turut mencadangkan perkara itu dibincangkan dan didedahkan sekurang-kurangnya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membolehkan penelitian terhadap pengurusan kedaulatan digital negara dibuat.
