PETALING JAYA: Zetrix AI Bhd memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan bersama yang sedang dijalankan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Syarikat itu memaklumkan Bursa Malaysia hari ini, operasinya tidak terjejas susulan siasatan itu, lapor Bernama.
Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap pertanyaan Bursa Malaysia Securities bertarikh 14 Okt mengenai laporan media bertajuk 'Police say six witnesses questioned in probe into MyEG, Zetrix AI', yang diterbitkan The Edge Malaysia pada 13 Okt.
Zetrix AI memaklumkan pihaknya akan berkongsi sebarang perkembangan penting melalui pengumuman rasmi, jika perlu.
Polis dilaporkan sudah merakam keterangan enam saksi berhubung siasatan terhadap MyEG Sdn Bhd dan Zetrix, susulan dakwaan kegagalan memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta.
Siasatan itu menyusuli pendedahan bahawa MyEG dan Zetrix, yang bertindak sebagai ejen kutipan bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), masih tertunggak hutang sebanyak RM314 juta kepada jabatan itu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi menyiasat tunggakan hutang RM314 juta membabitkan MyEG dan Zetrix kepada JPJ.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebelum ini berkata, sebanyak 35 notis telah dikeluarkan kepada Zetrix bagi melunaskan jumlah tunggakan tersebut.
Beliau berkata, Zetrix pernah mengemukakan cek bernilai RM231 juta pada Ogos lepas, namun pihak bank kemudian memaklumkan kepada JPJ bahawa cek berkenaan tidak dapat diproses atas arahan syarikat terbabit.
