KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya meminda peraturan majlis mesyuarat Parlimen termasuk menggubal undang-undang peruntukan saksama selagi masih ada kuasa berbuat demikian, kata Ronald Kiandee (PN-Beluran).
Beliau menyeru peruntukan kawasan Parlimen saksama bagi semua Ahli Parlimen dijamin di bawah undang-undang, mempermudah akses bagi usul tidak percaya di Dewan Rakyat, serta meminda undang-undang antilompat parti.
Kiandee berkata, peruntukan kawasan Parlimen sepatutnya dilindungi undang-undang demi memastikan Ahli Parlimen pembangkang menerima dana sama seperti Ahli Parlimen kerajaan, tanpa mengira parti mana memegang kuasa.
Beliau mengakui Barisan Nasional (BN) telah gagal berbuat demikian sewaktu menjadi kerajaan, sekali gus menyebabkan Ahli Parlimennya tidak menerima peruntukan selepas gabungan itu hilang kuasa, pada PRU 2018.
"Nak menangis ketika itu, tak berair mata, kerana kita tidak jadikan itu undang-undang," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
"Jadi, bila anda ada kuasa, boleh lakukan ini, buat pindaan-pindaan tertentu supaya keadaan ini menjadi baik, tidak berlaku zaman dulu dan tidak berlaku lagi ke hadapan ini."
Beliau juga menggesa perubahan dilakukan terhaap peraturan majlis mesyuarat Parlimen bagi mengelak usul tidak percaya terhadap kerajaan diketepikan.
Berkait undang-undang antilompat parti, Kiandee berkata, ia gagal menghalang tindakan berpaling tadah politik, manakala pada masa sama mengenakan hukuman ke atas Ahli Parlimen seperti dirinya, yang digantung parti tetapi tidak dapat menyertai gabungan politik baharu.
"Maknanya, Akta Anti-Lompat bukan sahaja tidak berjaya menghalang melompat, tetapi menganiaya bagi kami yang dianiaya oleh parti," katanya merujuk kedudukannya sebagai naib presiden Bersatu yang digantung.
Kiandee mencadangkan kerajaan agar bertindak sebelum terlambat, sambil memberi amaran Ahli Parlimen kerajaan berkemungkinan menghadapi sekatan dan isu peruntukan yang sama suatu hari nanti sekiranya berlaku pertukaran kuasa.
"Kalau ada pertukaran kerajaan, mereka akan mengeluh seperti apa yang berlaku pada kami sekarang ini," katanya.
