PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali, mengkritik cadangan supaya PAS memberikan satu pertiga kerusi DUN di empat negeri ditadbirnya kepada Umno jika kedua-dua parti serius manu meneruskan kerjasama dalam pilihan raya akan datang.
Rafique berkata penyatuan ummah bukan sekadar soal siapa dapat kerusi dan berapa banyak kerusi yang diperoleh. Katanya, ia menuntut kejelasan prinsip, kesepakatan dasar dan kesediaan menghormati perbezaan antara parti.
"Kalau benar mahu kerjasama, mengapa formula satu pertiga perlu diumumkan sebelum rundingan dimuktamadkan?" katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Katanya, jika penyatuan ummah jadi matlamat apakah bentuk penyatuan yang dimaksudkan?
"Adakah ia kerjasama pilihan raya? Perkongsian pentadbiran? Atau persefahaman mengenai dasar tertentu?
"Soalan-soalan ini perlu dijawab terlebih dahulu sebelum jumlah kerusi dijadikan ukuran keikhlasan," katanya.
Pejuang ialah parti komponen Perikatan Nasional (PN), yang kini dipengerusikan PAS.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertingginya (MKT) Nur Jazlan Mohamed berpandangan PAS tidak perlu bertanding di semua kerusi Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
Katanya, memadai parti itu bertanding dengan dua pertiga kerusi bagi membuktikan keikhlasan parti itu menjayakan agenda penyatuan Melayu.
PAS memenangi semua 27 kerusi DUN di Terengganu, 37 daripada 45 kerusi di Kelantan, 21 daripada 36 kerusi di Kedah dan sembilan kerusi di Perlis.
Rafique juga mempersoalkan sama ada cadangan Nur Jazlan itu merupakan pandangan peribadinya atau keputusan rasmi Umno.
Beliau turut berkata Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis mempunyai sejarah pilihan raya serta keadaan politik yang berbeza.
"Oleh itu, formula pembahagian kerusi yang sama tidak semestinya sesuai digunakan di semua negeri.
"Politik memang memerlukan rundingan tetapi rundingan yang baik perlukan kejelasan, bukan sekadar tuntutan yang diumumkan kepada media," katanya.
