PETALING JAYA: Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan, atau Hakam, menggesa tindakan kumpulan tertentu yang menyasarkan pelarian Rohingya dihentikan susulan peningkatan sentimen xenofobia dan permusuhan terhadap komuniti itu.
Presiden Hakam, M Ramachelvam, melahirkan kebimbangan terhadap tindakan orang awam mengambil tindakan terhadap pelarian termasuk kes semalam di mana beberapa rumah Rohingya di Johor di baling bom petrol.
Ramachelvam berkata tindakan itu membelakangkan kedaulatan undang-undang, meningkatkan risiko keganasan dan menggalakkan sikap menyalahkan seluruh komuniti secara kolektif.
“Tindakan ugutan dan keganasan itu mesti dikutuk tanpa sebarang keraguan, manakala sebarang rungutan mesti ditangani melalui proses yang sah di sisi undang-undang dan bukannya tindakan balas secara sendirian.
“Apabila perbuatan sedemikian ditujukan kepada komuniti etnik atau pelarian, ia turut mewujudkan persekitaran yang memungkinkan sikap menyalahkan seluruh komuniti secara kolektif dan penyahinsanan dianggap sebagai sesuatu yang boleh diterima.
“Tiada komuniti sepatutnya terpaksa hidup dalam ancaman dan keselamatan mereka bergantung pada ihsan orang yang tidak dikenali, yang mengambil keputusan sendiri untuk menentukan siapa yang layak mendapat perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis berkata beberapa rumah yang didiami pelarian Rohingya di Kulai, Johor, diserang menggunakan bom petrol (Molotov cocktail) pada tengah malam semalam.
Siasatan mendapati kejadian itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap dua video tular yang didakwa menunjukkan sekumpulan lelaki Rohingya mencabar orang ramai untuk bergaduh di Kulai.
Ramachelvam menggesa orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri, tidak menyebarkan dakwaan menghasut atau belum disahkan, serta melaporkan kesalahan melalui saluran undang-undang yang betul.
