
Perhatikan titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan semasa menegur keras Menteri Besar Ismail Lasim, Jumaat lalu: "Selagi dia tak tarik apa yang dia kata tu, jangan jumpa saya, Go away, don’t see me, I don't want to see you okay? You understand?"
Dalam video yang menunjukkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memarahi Ismail, si menteri besar mengangkat sembah. Adakah ini menunjukkan beliau faham lantas akur?
Apa yang mesti dilakukan Ismail atau apa yang Tuanku Muhriz mahu Ismail lakukan memang jelas jika mahu berjumpa baginda.
Tuanku Muhriz merujuk surat yang ditulis Ismail: "Ismail Lasim telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar baru-baru ini mengatakan keputusan yang dibuat bersama exco itu sah dan saya ini bukan lagi Yamtuan Negeri Sembilan."
Pada hemat saya, 'tarik balik' yang dituntut Tuanku Muhriz membawa erti Ismail mengakui atau membuat perakuan bahawa baginda masih Yang Dipertuan Besar yang sah, sekali gus menyatakan kesetiaan.
Syarat 'tarik balik' (jika ia boleh dianggap syarat) menurut saya ialah bagai satu window dalam kemelut Negeri Sembilan. Sebenarnya, sebelum ini, Yang Dipertuan Besar ada juga buka satu peluang.
Ini semasa baginda membatalkan pelantikan 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau exco pada 20 Sept lalu. Waktu itu Tuanku Muhriz meminta Ismail mempersembahkan senarai exco baharu untuk menggantikan golongan yang dipecat. Ini bagi saya satu window of opportunity for an amicable solution to the crisis.
Tidak ada senarai baharu yang dipersembahkan malah Ismail mempertikaikan pemecatan barisan exco sambil menyifatkan apa yang dilakukan tidak sah.
Ismail terlepas atau melepaskan peluang, hence we are seeing what we are seeing till today. Kemelut berpanjangan.
Mungkin Ismail ditekan Umno. Mungkin beliau rasa bertanggungjawab untuk mempertahankan barisan exco. Mungkin dia tersepit antara parti dan istana. Wallahu a'lam. Realitinya apa yang dilakukan Ismail, atau lebih tepat yang tidak dilakukan Ismail, merumitkan kemelut sehingga sekarang.
Tidak perlu saya huraikan mengapa 10 exco Ismail dipecat kerana ramai sudah maklum. Tidak perlu juga huraikan mengapa Yang Dipertuan Besar murka terhadap Ismail. Ini juga ramai sudah maklum. Yang ingin saya tegaskan ialah realitinya, Ismail sekarang keseorangan. Beliau seorang menteri besar tanpa barisan exco, boleh dikatakan menteri besar tanpa 'kerajaan'. Umno seakan mengabainya dan membiarkan beliau menghadapi krisis ini bersendirian.
Beliau dimarahi Yang Dipertuan Besar secara terbuka di hadapan khalayak. Baginda tidak mahu berjumpanya (melainkan turuti syarat). Krisis bertambah parah. Bagaimana negeri mahu ditadbir jika Yang Dipertuan Besar tidak mahu jumpa menteri besar? Bagaimana mahu menjalankan pentadbiran jika menteri besar tidak senada dengan Yang Dipertuan Besar?
Kita tahu banyak urusan pentadbiran memerlukan persetujuan raja dan menteri besar, apatah lagi si menteri besar tidak ada barisan exco.
Ismail melepaskan satu window yang dibuka Yang Dipertuan Besar dengan tidak mempersembahkan barisan exco baharu. Bagaimana pula dengan window kedua, masih berfikir-fikir atau akan dilepaskan jua?
Imbau kembali apa yang berlaku di Masjid Kampung Beting Juasseh, Kuala Pilah, Jumaat lalu. Semasa berangkat tiba Yang Dipertuan Besar sudah beri cold shoulder kepada menteri besar.
Selesai sembahyang Jumaat sebelum berangkat pulang, Yang Dipertuan Besar memarahi Ismail.
Melihat apa yang terjadi apa pilihan yang ada buat menteri besar? Saya bertanya beberapa pemerhati dan penganalisis politik, juga beberapa kawan. Jawapan mereka sama, ertinya sependapat.
Tidak perlu saya dedahkan apa jawapan mereka. Rasanya ramai boleh agak. Mungkin juga ramai yang sependapat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
