KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal berpendirian tiada keperluan menggubal undang-undang baharu khusus bagi menangani isu 3R (kaum, agama dan raja) kerana kerangka perundangan sedia ada memadai.
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata peruntukan bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sudah mencukupi untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
"Sehubungan itu, kerajaan tidak melihat keperluan untuk mewujudkan satu undang-undang baharu yang khusus bagi isu 3R pada masa kini.
"Sebaliknya, tumpuan perlu diberikan kepada penguatkuasaan undang-undang sedia ada secara lebih tegas dan berkesan oleh agensi yang mempunyai bidang kuasa," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis, Kementerian Komunikasi, serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya.
Beliau menjawab soalan dibangkitkan Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) sama ada kementerian bercadang untuk memperkenalkan Akta Perpaduan Negara yang komprehensif bagi memastikan isu 3R ditangani secara lebih berkesan.
Mengulas lanjut, Aaron berkata cadangan penggubalan undang-undang berkaitan usaha menyelaraskan definisi "jenayah 3R" telah dibahas sejak 2015.
Namun, katanya, usaha gubalan seperti RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama serta RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional ditolak pada 2019 akibat isu pertindihan undang-undang dan sentimen awam.
"Kita di kementerian pun sedang berusaha melihat kembali perkara-perkara ini, tetapi kita belum dapat membuat keputusan sama ada kita perlukan RUU yang baharu," katanya.
