KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti mekanisme untuk memperluas sekatan umur kepada pengguna platform permainan dalam talian seperti Roblox bagi meningkatkan keselamatan, khususnya kanak-kanak.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata langkah itu susulan kebimbangan platform seumpamanya disalahgunakan kumpulan ekstremis untuk mendekati dan merekrut kanak-kanak seperti didedahkan bekas timbalan ketua polis negara Ayob Khan Mydin Pitchay
“Perbincangan saya dengan pihak Roblox, sebagai contoh, sejak tahun lalu menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk bekerjasama. Isunya mungkin hanya dari segi pengesahan pengguna dan pengesahan umur pengguna.
“Ayob Khan sebut itu turut merangkumi anak-anak bawah umur. Jadi, waktu ini pihak SKMM sedang mengenakan sekatan umur kepada pengguna media sosial dan kita akan teliti kesesuaian untuk mengembangkan aspek pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) dan pengesahan umur kepada platform seperti Roblox,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen pembiayaan RM5.2 bilion untuk Digital Nasional Berhad (DNB).
Fahmi berkata kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memantau platform terbabit.
Semalam, Ayob Khan mendedahkan kanak-kanak seawal usia 12 tahun direkrut golongan ekstremis menerusi permainan dalam talian seperti Roblox.
Ayob Khan dilaporkan berkata golongan ekstremis akan mendekati kanak-kanak menerusi platform permainan untuk berkawan sebelum membawa mereka menyertai kumpulan tertutup, di mana mereka diasuh dan dididik untuk melancarkan serangan.
Roblox sendiri telah memperkenalkan sistem akaun berasaskan umur bagi pengguna bawah 16 tahun, iaitu Roblox Kids untuk kanak-kanak berusia lima hingga lapan tahun dan Roblox Select bagi mereka berusia sembilan hingga 15 tahun.
Sistem itu dilancarkan secara global pada Jun lalu dengan kawalan kandungan dan komunikasi berbeza mengikut usia.
Bagi pengguna berusia lima hingga lapan tahun, akses dihadkan kepada permainan dengan tahap kandungan minimum atau ringan, manakala fungsi komunikasi dinyahaktifkan secara lalai.
Pengguna berusia sembilan hingga 15 tahun pula menggunakan akaun Roblox Select yang membenarkan akses kepada kandungan sehingga tahap sederhana, dengan kawalan komunikasi dan tetapan ibu bapa mengikut usia.
Pengguna berusia 16 dan 17 tahun yang melepasi pemeriksaan umur boleh mengakses kandungan lebih matang, termasuk permainan berklasifikasi 16+, manakala pengguna berusia 18 tahun ke atas boleh mengakses permainan terhad selepas melengkapkan pengesahan umur.
Pembiayaan RM5.2 bilion perkukuh DNB
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata pembiayaan bernilai RM5.2 bilion untuk DNB dijangka memperkukuh kedudukan kewangan syarikat itu, sekali gus menyokong kelangsungan operasi dan pembangunan rangkaian 5G negara.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan keyakinan sektor perbankan terhadap masa depan DNB, selain kepentingan infrastruktur telekomunikasi dalam memacu ekonomi digital negara.
Beliau berkata rangkaian 5G yang kini mencapai liputan 82.4% kawasan berpenduduk perlu terus diperkasa bagi memenuhi keperluan industri dan pengguna.
