PUTRAJAYA: Pemberian bantuan khas kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah pada masa depan bergantung kepada hasil tambahan diperoleh kerajaan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Beliau berkata bantuan diumumkan dalam Belanjawan 2027 itu bersifat sekali bayar dan tidak semestinya diteruskan setiap tahun.
"Bantuan kepada pemandu-pemandu ini memang tidak pernah diberikan setiap tahun.
“Kalau dulu pun, memang ada peruntukan dalam belanjawan.
"Disebabkan ada hasil tambahan dan menteri kewangan meluluskannya, maka bantuan ini diberikan,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan itu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan RM1,000 secara sekali bayar kepada 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.
Bayaran itu ditampung menerusi hasil RM91 juta menerusi penjualan nombor pendaftaran kenderaan istimewa siri H.
