KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai produk kecantikan dipercayai diseludup dari Thailand dan sebuah kereta Honda Jazz dengan nilai keseluruhan RM80,770 di Kampung Pulau Ular, Tumpat, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain, berkata rampasan pada kira-kira 4 petang dilakukan selepas anggota Strike Force Kompeni A Batalion 9 menahan kereta putih itu yang dilihat mencurigakan.
“Pemeriksaan menemukan dua bungkusan plastik merah jambu mengandungi pelbagai produk kecantikan yang dipercayai dibawa masuk melalui pangkalan haram Sungai Golok untuk dijual semula menerusi aplikasi TikTok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Radzi berkata, pemandu kereta iaitu wanita berusia 32 tahun dipercayai menjalankan aktiviti itu kira-kira sekali seminggu bergantung kepada permintaan pelanggan.
Katanya, wanita itu dan kenderaan serta produk tersebut diserahkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Kelantan pada 8.30 malam untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
