KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan menjemput Bersatu menghadiri mesyuarat gabungan itu dalam masa terdekat, kata Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata tarikh mesyuarat akan ditentukan kemudian sambil menegaskan Bersatu masih kekal sebagai parti anggota PN.
“Kita akan menentukan bila kita akan adakan mesyuarat. Maksudnya kita boleh mengadakan mesyuarat dan perlu diingat, kami akan panggil Bersatu datang mesyuarat kerana mereka adalah parti anggota lagi,” katanya kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kali terakhir Bersatu menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN ialah pada 22 Jun lalu, apabila Presidennya Muhyiddin Yassin bersama beberapa pemimpin parti itu hadir ke Pejabat Agung PAS.
Hubungan kedua-dua pihak kemudian tegang apabila Bersatu mendakwa wakilnya dihalang menghadiri mesyuarat MT PN pada 16 Julai yang antara lain membincangkan pengagihan kerusi dan kerjasama pilihan raya.
Sementara itu, Takiyuddin berkata PN kini boleh menggunakan logonya pada PRN Melaka selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya menangguhkan pelaksanaan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) yang membatalkan pendaftaran gabungan itu.
“Kita boleh guna logo sehingga saat ini, bermaksud kita boleh teruskan dengan segala aktiviti dan kegiatan kita,” katanya.
Takiyuddin turut menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai mengembalikan kedudukan PN.
“Selepas keputusan ini, saya tak nak hurai panjang. Saya nak sebut dalam dua perkara, Perikatan Nasional kembali. PN is back,” katanya.
Selasa lalu, JPPM membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Keputusan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan selepas JPPM meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Okt.
Siasatan JPPM terhadap PN dibuat susulan aduan dilaporkan Bersatu yang mendakwa mereka dinafikan hak untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Jul.
