PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh meminta orang ramai berhenti menyalurkan wang ke akaun banknya selepas menerima RM45,102.18, sambil menegaskan beliau mahu menjual aset sendiri bagi melunaskan ganti rugi dan kos mahkamah.
Dalam hantaran di Facebook, Akmal berkata kebanyakan wang yang diterimanya bukan untuk membeli motosikal Honda X-ADV atau ikan tilapia yang ditawarkan untuk dijual, sebaliknya diberikan sebagai sumbangan.
“Saya sangat-sangat berterima kasih, tetapi niat saya adalah untuk berusaha terlebih dahulu menjual aset saya iaitu motor dan ikan saya,” katanya.
Akmal berkata beliau tidak mahu menyusahkan orang lain dan mahu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bayaran berkenaan.
“Saya mohon jangan masukkan lagi duit ke akaun saya agar saya tidak rasa bersalah dengan semua,” katanya sambil meminta orang ramai mendoakannya.
Sebelum ini, Akmal membuka bidaan bagi motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk mengumpul wang bagi membayar ganti rugi dan kos mahkamah berjumlah RM300,000.
Mahkamah Tinggi Melaka pada 19 Okt memerintahkannya membayar ganti rugi RM250,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok selepas membenarkan saman fitnah difailkan pemimpin DAP itu, selain kos mahkamah RM50,000.
Saman itu berpunca daripada kenyataan Akmal pada September 2024 selepas Kok mempersoalkan cadangan mewajibkan sijil halal terhadap restoran dan perniagaan makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.
Mahkamah turut memerintahkan Akmal memadam kenyataan berunsur fitnah itu daripada platform media sosialnya dan melarangnya mengulangi kenyataan sama atau kenyataan yang membawa maksud serupa terhadap Kok.
