KUALA LUMPUR: Bank Negara (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) memberi amaran kepada orang ramai mengenai video 'deepfake' atau palsu yang mendakwa sebagai pihak pengurusan kanan mereka untuk mempromosikan skim pelaburan persendirian dan produk kewangan.
BNM dalam kenyataan memaklumkan orang ramai perlu melaporkan kandungan yang mencurigakan kepada platform media sosial yang berkaitan atau kepada BNM atau SC bagi membantu membendung penyebarannya.
Menurutnya mereka boleh melayari laman web rasmi bank pusat iaitu bnm.gov.my/sahkan untuk melihat contoh kandungan 'deepfake' dan penyamaran yang menggunakan nama atau identiti BNM.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyemak Senarai Amaran Pengguna Kewangan BNM atau Senarai Amaran Pelabur SC untuk mengetahui sama ada entiti atau skim itu telah dikenal pasti atau diketengahkan sebagai amaran oleh pihak berkuasa.
“Sahkan sama ada entiti tersebut dibenarkan untuk menawarkan produk kewangan atau pelaburan melalui BNMLINK atau laman sesawang Semak Sebelum Labur SC,” menurut kenyataan itu.
Bank pusat turut menggalakkan orang ramai untuk mengikuti laman Facebook Amaran Scam untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai penipuan serta tip untuk mengelakkannya.
