KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan jawatankuasa khas dalaman bagi menguatkuasakan proses penapisan dan kelulusan lebih ketat untuk arahan pembekuan aset, sidang Dewan Rakyat diberitahu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, berkata jawatankuasa itu diperkenalkan seiring penambahbaikan sistem yang sedang dijalankan bagi memusatkan perekodan data bagi arahan pembekuan yang dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
“SPRM telah menubuhkan satu jawatankuasa khas dalaman yang bertanggungjawab meneliti dan meluluskan permohonan pembekuan aset di bawah Seksyen 44 dan 44A,” kata Kulasegaran pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang menzahirkan kebimbangan perintah di bawah Seksyen 44 boleh dilaksanakan terlebih dulu tanpa mendapat kelulusan mahkamah.
Wee turut mengetengahkan isu ketiadaan rekod berpusat yang boleh diakses secara umum mahupun statistik lengkap mengenai perintah pembekuan dan penarikannya, sejak 2022.
Kulasegaran berkata, SPRM telah mengeluarkan 1,336 perintah pembekuan aset pada 2025, di mana 481 daripadanya ditarik balik tanpa sebarang pertuduhan. Sejak 1 Jan hingga 30 Sept tahun ini, 1,006 perintah pembekuan aset dikeluarkan dengan 781 daripadanya ditarik balik tanpa tindakan pendakwaan.
Beliau berkata, penarikan balik atau pengubahsuaian perintah pembekuan tidak semestinya menandakan ketiadaan pelanggaran undang-undang, sebaliknya mencerminkan perkembangan siasatan yang sedang berjalan.
Kulasegaran berkata, Amla berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, dan Subseksyen 46(6) serta Seksyen 77 melindungi agensi penguatkuasaan daripada saman sivil atau tuntutan ganti rugi berpunca daripada perintah pembekuan, dengan syarat tindakan tersebut dilaksanakan secara niat baik.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata jawatankuasa siasatan khas yang menyiasat pemilikan saham bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, telah melengkapkan siasatan dan mengemukakan dapatan akhir kepada Jemaah Menteri.
Beliau berkata, makluman terkini kepada orang ramai mengenai hasil siasatan berkenaan akan dikeluarkan secara langsung oleh ketua setiausaha negara.
