KUALA LUMPUR: Seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan jenayah terhadap pengarah 'Mentega Terbang', Khairi Anwar Jailani, dan penerbit, Tan Meng Kheng, memberitahu Mahkamah Majistret bahawa watak Muslim filem itu menggambarkan konsep penjelmaan semula secara positif.
Yamna Ismail, 39, yang membuat laporan polis terhadap filem tersebut pada 2023, ketika memberi keterangan menyatakan beberapa babak dan dialog melibatkan watak utama, Aisyah, serta ibu bapanya mempromosikan penjelmaan semula, yang menurutnya bertentangan dengan ajaran Islam.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Zaid Malek, Yamna diminta mengenal pasti babak yang menyokong dakwaannya itu.
Dia memetik beberapa babak, termasuk satu babak di mana Aisyah tersenyum selepas melihat seekor rama-rama putih di kubur ibunya.
Katanya, babak berkenaan menunjukkan Aisyah menerima konsep penjelmaan semula.

Zaid: Saya mencadangkan kepada anda bahawa tiada satu pun daripada babak itu menunjukkan Aisyah percaya penjelmaan semula tanpa sebarang keraguan.
Yamna: Saya tidak setuju.
Zaid: Tunjukkan kepada saya dalam mana-mana babak di mana Aisyah menyatakan dia percaya penjelmaan semula.
Yamna: Tiada.
Zaid seterusnya mencadangkan dia telah tersalah tafsir babak dan dialog berkenaan, sambil berhujah tafsiran itu sepatutnya mengambil kira ekspresi muka pelakon, intonasi suara, serta muzik latar.
Namun, Yamna tidak bersetuju.
Zaid: Jadi, adakah anda berhasrat mengatakan anda boleh memahami dialog tanpa memahami konteks?
Yamna: Ya.
Khairi, 34, yang juga penulis skrip, dan Tan, 39, dituduh pada 17 Jan 2024 mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain.
Filem tersebut ditayangkan pada 28 Nov 2021 sebelum Kementerian Dalam Negeri mengharamkannya pada 1 Sept 2023.
Pada Julai lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan menteri dalam negeri mengharamkan penayangan dan publisiti filem itu, dengan memutuskan larangan terbabit sah dari segi undang-undang dan peruntukan Perlembagaan berkaitan dalam Akta Penapisan Filem.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dan Nadia Izhar bertindak bagi pihak pendakwaan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Heng Yi Min bersambung esok.
