PETALING JAYA: Kerajaan digesa menawarkan rebat cukai khas RM1,000 bagi pembelian penapis udara untuk membantu rakyat Malaysia melindungi kesihatan keluarga ketika berdepan jerebu rentas sempadan.
Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata langkah itu dapat meringankan beban rakyat yang terpaksa menanggung kos tambahan akibat pencemaran udara.
Menurutnya, rebat berkenaan juga boleh membantu melindungi golongan rentan, khususnya warga emas dan kanak-kanak kecil, daripada kesan buruk jerebu.
“Sekiranya Malaysia enggan mengambil tindakan terhadap Indonesia demi membantu rakyat Malaysia yang menderita akibat jerebu, kerajaan sekurang-kurangnya perlu menawarkan rebat cukai khas (dan) bukan potongan cukai sebanyak RM1,000 bagi membantu rakyat Malaysia membeli penapis udara untuk menghadapi krisis jerebu ini.
“Pada masa ini, banyak penapis udara telah habis dijual dan harganya juga meningkat akibat kekurangan bekalan,” katanya dalam kenyataan.
Lim berkata rakyat Malaysia terus menanggung kesan jerebu, termasuk masalah kesihatan serius dan ketidakhadiran kanak-kanak ke sekolah.
Beliau juga mendakwa kerajaan Indonesia yang didakwanya tidak serius menangani kebakaran hutan dan tanah, selain masih enggan mengisytiharkan keadaan itu sebagai bencana nasional.
Lim merujuk kenyataan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Dudung Abdurachman, bahawa bantuan asing, termasuk dari Malaysia, perlu menunggu sehingga pengisytiharan bencana nasional dibuat.
Menurutnya, keyakinan Indonesia untuk menangani krisis itu menggunakan sumber sendiri tidak wajar ketika keadaan jerebu semakin buruk.
