PETALING JAYA: Tiga minggu selepas kehilangan isteri yang menemaninya selama 70 tahun, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tetap bersyukur kerana Allah memberinya kesempatan hidup bersama Dr Hasmah Ali begitu lama.
Bekas perdana menteri itu berkata kesedihan atas pemergian Hasmah masih dirasai, malah kekuatannya belum pulih sepenuhnya meskipun sudah cuba kembali ke pejabat sejak sehari dua lalu.
“Sehari dua ini saya cuba ke pejabat tetapi upaya masih belum begitu kuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam luahan ringkas itu, Mahathir berkata doa yang terus mengiringi Hasmah, sama ada di pusara mahupun dari mana-mana sahaja, amat menyentuh hatinya.
Katanya, sokongan dan doa orang ramai turut mengingatkannya supaya terus bersyukur meskipun sedang melalui kehilangan yang amat memedihkan.
“Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” katanya.
Mahathir turut merakamkan penghargaan bagi pihak keluarganya kepada semua pihak yang membantu menguruskan pengebumian Hasmah serta mereka yang tidak putus-putus mendoakan Allahyarhamah.
Beliau pada masa sama memohon maaf sekiranya ada salam, lambaian atau ucapan takziah yang tidak sempat dibalas dalam tempoh berkabung itu.
“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk meminta maaf jika sepanjang tempoh ini ada salam yang tidak saya sambut, lambaian yang tidak saya balas serta ucapan takziah yang belum saya jawab.
“Terima kasih,” katanya.
Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 28 Sept lalu pada usia 100 tahun dan dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya.
Mahathir dan Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan sempat meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-70 pada Ogos lalu. Pasangan itu dikurniakan tujuh anak.
Selain dikenali sebagai isteri kepada perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini, Hasmah antara doktor wanita Melayu terawal dan banyak menyumbang dalam bidang kesihatan awam serta kebajikan masyarakat.
