PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, beliau akan mengkaji semula rancangan kerjasama kerajaan negeri dengan Bersatu susulan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), namun menegaskan persefahaman itu dibuat bersama Bersatu, bukannya gabungan itu.
Beliau memaklumkan, ketetapan berhubung status kerjasama itu akan diputuskan 'dalam satu atau dua hari lagi'.
“Kita tidak pasti (kedudukan PN), saya kena semak dahulu. Mungkin satu atau dua hari ini kita akan tentukan kedudukannya (kerjasama) dengan Bersatu.
“Soal pembatalan pendaftaran PN, itu masalah dalaman yang harus mereka sendiri selesaikan. Sebab perancangan kita adalah dengan Bersatu, bukan PN,” katanya kepada pemberita di Shah Alam, lapor Astro Awani.
Amirudin yang juga naib presiden PKR berkata, perjanjian antara kerajaan negeri dengan Bersatu itu dijangka ditandatangani minggu depan, tertakluk kepada pengesahan.
“Nanti saya kena tunggu pengesahan dahulu, mungkin selepas 25, 26 hari bulan,” katanya.
Kerajaan Selangor sedang merundingkan pakatan bersama Bersatu dengan harapan dapat memuktamadkannya sebelum belanjawan negeri dibentangkan pada November.
Cadangan perjanjian itu timbul ketika ketegangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor semakin memuncak, selain pergeseran dalaman PN yang menyaksikan PAS tampil sebagai rakan dominan.
DUN Selangor yang mempunyai 56 kerusi dianggotai 32 wakil rakyat PH, 11 Bersatu, 10 PAS, dua BN dan seorang calon bebas.
Perjanjian dengan Bersatu itu akan memberi Amirudin sokongan lebih dua pertiga di DUN.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran PN hari ini selepas mendapati jawapan gabungan itu terhadap notis tunjuk sebab gagal mewajarkan pendaftarannya dikekalkan.
Selepas meneliti dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN pada 12 Okt, JPPM mendapati gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan pendaftarannya.
Susulan itu, PN menegaskan akan mencabar keputusan tersebut dan memohon penangguhan pelaksanaannya.
