Pemandu SUV BYD berusia 24 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Trafik esok atas kematian kanak-kanak perempuan lima tahun dalam kemalangan di Jalan Kuching.
KUALA LUMPUR: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BYD yang terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching Sabtu lepas, akan didakwa di Mahkamah Majistret esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata suspek berusia 24 tahun itu, ditahan polis kira-kira 11.30 pagi tadi.
Beliau berkata tangkapan dibuat sejurus lelaki itu dibenarkan keluar selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara, sebelum dimasukkan ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira 12.30 tengah hari.
“Kertas siasatan kes itu kemudian dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan pada 3 petang tadi untuk tindakan lanjut. Pihak pendakwaan bersetuju untuk menuduh lelaki itu di Mahkamah Majistret 13 (Trafik) Jalan Duta 9 pagi esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata suspek akan berdepan tiga pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 mengikut Seksyen 41(1), kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya, Seksyen 42(1) kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 52(1) kerana gagal memberhentikan kenderaan selepas kemalangan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan enam kenderaan.
Kemalangan pada kira-kira 3.44 petang itu, dipercayai berlaku selepas kenderaan BYD Seal dipandu suspek melanggar bahagian belakang kereta dinaiki mangsa, yang bergerak perlahan dalam aliran trafik dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.
Pelanggaran itu turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza terbabit berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
Turut cedera dalam insiden itu ialah pemandu Perodua Bezza yang merupakan bapa mangsa dan seorang penunggang motosikal.
