PETALING JAYA: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meluahkan rasa dukacita susulan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), gabungan politik yang diasaskannya, enam tahun lalu.
Muhyiddin juga menegaskan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) itu harus menjadi peringatan kepada pihak memimpin sesebuah gabungan supaya berlaku adil kepada semua parti anggota.
"Jangan salah guna kuasa dan kedudukan dalam parti gabungan semata-mata untuk kepentingan parti atau kelompok tertentu sehingga menyebabkan parti gabungan tergelincir daripada tujuan dan matlamat asal penubuhannya," katanya dalam kenyataan.
Bekas perdana menteri itu berkata beliau akan membincangkan langkah ke hadapan dengan pimpinan Bersatu dalam mesyuarat biro politik khas, malam ini.
Awal hari ini, JPPM membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Keputusan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 selepas JPPM meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Okt.
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata gabungan itu akan mencabar pembatalan pendaftarannya dan memohon supaya pelaksanaan serta kesannya ditangguhkan sementara menunggu keputusan mahkamah.
Siasatan JPPM terhadap PN dibuat susulan aduan dilaporkan Bersatu yang mendakwa mereka dinafikan hak untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Jul.
