PASIR MAS: Tujuh kematian akibat rabies direkodkan di Malaysia setakat 12 Okt lalu membabitkan enam kes di Sarawak dan satu kes di Kedah, kata Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Awam Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Dr Norhaliza Abdul Halim.
Katanya, mangsa termasuk seorang lelaki 44 tahun di Kota Samarahan, Sarawak pada Februari lalu, seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun di Kuching pada Mac serta lelaki 31 tahun dari Kubang Pasu, Kedah, bulan lalu.
Menurutnya, sebahagian mangsa di Sarawak dijangkiti melalui gigitan anjing terbiar, manakala selebihnya membabitkan anjing peliharaan.
"Bagi kes di Kedah, mangsa dikenal pasti digigit anjing terbiar pada Ogos lepas ketika mahu memberi haiwan itu makan sebelum disahkan positif rabies pada 26 Sept dan meninggal dunia keesokannya," katanya selepas menghadiri Program Hari Rabies Sedunia Peringkat Kelantan 2026 di sini.
Jelasnya, vaksinasi dan pemandulan anjing perlu dipertingkatkan, khasnya di negeri bersempadan dengan Thailand, termasuk Kelantan bagi mengurangkan risiko penularan penyakit itu.
Beliau berkata, pemandulan dapat mengawal pembiakan anjing, sekali gus mengurangkan populasi haiwan terbiar yang berpotensi menjadi punca penyebaran rabies, manakala vaksinasi membantu memberi perlindungan daripada jangkitan.
Katanya, 97 kes rabies dan 90 kematian direkodkan di Malaysia dari 2017 hingga 12 Okt lalu.
"Di Kelantan, 42 aduan berkaitan gigitan anjing direkodkan dengan 38 daripadanya disiasat setakat 19 Okt lepas.
"Dalam usaha kawalan, sebanyak 1,459 anjing divaksinasi, manakala 1,536 anjing terbiar dihapuskan."
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap anjing terbiar, sebaliknya menyerahkan urusan penghapusan kepada pihak berkuasa untuk dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
