PETALING JAYA: Sembilan ahli Geng Yunaa yang disyaki terlibat dalam pemerdagangan kanak-kanak untuk eksploitasi seks didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang.
Tiga daripada mereka, Lai Kok Hoe, Tham Yong Zhi, dan Seah Joon Kiat, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.
Tiada pengakuan direkodkan dan mengikut pertuduhan mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Yunaa di sebuah hotel, antara Januari 2025 hingga 25 Sept 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 7 Dis ini untuk sebutan semula kes sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, manakala Seah diwakili peguam Kailash Sharma dengan Lai serta Tham diwakili Kelvin Francis, manakala enam lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Semalam, media melaporkan polis berjaya menumpaskan Geng Yunaa yang disyaki terbabit dalam 17 kes pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak untuk eksploitasi seks menerusi Ops Angel di Lembah Klang, pada 24-26 Sept lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, dipetik berkata kumpulan yang aktif sejak awal 2024 itu terdiri 10 individu berusia 18 hingga 44 tahun dan diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.
Katanya, kumpulan itu dipercayai mampu memperoleh pendapatan RM15,000 sehari atau RM450,000 sebulan, bersamaan RM5.4 juta setahun menerusi aktiviti haram berkenaan.
