KPKM kini mempergiat rundingan dengan negara transit bagi membolehkan durian segar tempatan dieksport ke China melalui laluan darat dan kereta api.
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempergiat rundingan dengan beberapa negara transit di rantau ini bagi membolehkan durian segar dieksport ke China melalui jalan darat dan kereta api merentasi negara berkenaan dalam tempoh tiga hingga empat hari sahaja.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata inisiatif tersebut bertujuan menyediakan alternatif logistik yang lebih cekap dan menjimatkan berbanding kos pengangkutan udara yang tinggi serta laluan laut yang memakan masa terlalu lama.
Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar serta Kementerian Pengangkutan bagi menyelaraskan laluan rentas sempadan melibatkan Thailand, Laos, Vietnam, dan Kemboja.
“Penghantaran melalui darat dijangka tiga hingga empat hari sahaja, jadi boleh dihantar dengan cepat dan barangan khasnya durian dapat dipasarkan ke China. Memang durian Malaysia menjadi satu kegemaran bagi rakyat China, tetapi kadangkala mereka susah untuk dapat dengan harga lebih murah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai status rundingan pengangkutan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand bagi melancarkan pergerakan logistik serta meningkatkan daya saing eksport durian negara ke China melalui jalan darat.
Mohamad berkata rundingan bagi mendapatkan hak transit itu telah dimulakan secara rasmi sejak 20 Julai lepas bagi membolehkan laluan melintasi empat negara terbabit direalisasikan.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan perbincangan berkenaan memerlukan penelitian diplomatik rapi memandangkan sebahagian negara transit terlibat turut bersaing mengeksport komoditi sama ke China.
“Kita tahu perundingan seperti ini agak sulit. Barangkali mereka juga tahu bahawa mereka mengeksport durian ke China, maka kita tak ada buat tuduhan apa-apa tetapi kita terus berunding sebab pasaran kita di China tidaklah banyak seperti mereka.
“Kita juga berunding untuk eksport durian melalui laut, tapi ia mengambil masa agak panjang. Ramai peminat durian di China mahu durian segar, oleh itu, durian segar ini sama ada (eksport) melalui udara atau kereta api sedang kita bincang secara intensif,” katanya.
