KUALA LUMPUR: Polis menegaskan proses tangkapan dan penahanan Noorizwan Zulkefly yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 1 Okt lalu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata bagaimanapun punca kematian lelaki berusia 42 tahun itu belum dimuktamadkan kerana polis masih menunggu laporan lengkap Jabatan Kimia dan keputusan rasmi pakar patologi.
“Siasatan kes kematian dalam tahanan itu dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.
Menurutnya, siasatan turut meneliti semua bukti bagi menentukan sama ada berlaku salah laku atau pelanggaran SOP dalam pengendalian tahanan berkenaan.
Fadil berkata, setiap proses tangkapan dan penahanan perlu mematuhi prosedur ditetapkan, termasuk membawa tahanan ke hadapan majistret bagi permohonan reman.
“Sekiranya seseorang tahanan didapati tidak sihat, tindakan membawa individu berkenaan ke hospital perlu dilakukan dengan segera mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.
Beliau memaklumkan Noorizwan dibawa ke hospital pada 1 Okt selepas didapati tidak sihat.
Fadil turut meminta orang ramai memberi ruang kepada polis untuk melengkapkan siasatan secara terperinci, serta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan masyarakat.
Sebelum ini, peguam keluarga Noorizwan, N Surendran daripada Lawyers for Liberty (LFL), mendesak polis menyiasat kematian lelaki itu sebagai kes bunuh susulan dakwaan terdapat kecederaan serius pada tubuhnya.
Pada 7 Okt lalu, Surendran mendakwa keluarga dimaklumkan mengenai kecederaan pada beberapa bahagian tubuh Noorizwan, termasuk kepala dan tulang rusuk. Beliau turut mempersoalkan kelewatan hampir 18 jam untuk memaklumkan keluarga mengenai kematian itu.
Tiga laporan terbaharu
Mengenai siasatan kes terhadap Noorizwan, Fadil berkata, ada tiga laporan terbaharu membabitkan lelaki itu, masing-masing satu kes narkotik dan dua kes jenayah.
Menurutnya, tangkapan pertama dibuat berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dengan kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya pada 22 Sept sebelum diputuskan tiada tindakan lanjut (NFA) kerana Noorizwan didapati tidak mempunyai kawalan dan pemilikan ke atas dadah yang dirampas.
Bagi kes kedua, Fadil berkata, Noorizwan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan berhubung kes pecah rumah dan arahan untuk mendakwanya telah diberikan.
Bagaimanapun, kes itu diputuskan NFA pada 6 Okt susulan kematian Noorizwan.
Kes ketiga pula disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan mencuri patung Buddha yang turut diputuskan NFA pada 8 Okt atas alasan sama.
Fadil turut memaklumkan semakan mendapati Noorizwan mempunyai hampir 60 rekod jenayah, termasuk 44 rekod lampau, dengan 18 daripadanya berkaitan dadah dan 26 lagi membabitkan kesalahan jenayah lain.
“Kita turut mendapati 17 kes membabitkan pecah rumah dan curi di kawasan Cheras yang dipercayai mempunyai kaitan dengan lelaki berkenaan,” katanya.
