PETALING JAYA: Ketua Pemuda Bersatu Melaka Jefri Safry meninggalkan parti itu dan menyertai Wawasan.
Beliau yang juga ketua Bersatu Jasin berkata, keputusan itu dibuat kerana pendiriannya tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan parti, khususnya berhubung desas-desus kemungkinan kerjasama politik antara Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, perjuangan politik seharusnya berteraskan prinsip, keikhlasan dan kepentingan rakyat, bukannya semata-mata percaturan kuasa atau kepentingan politik tertentu, lapor Harian Metro.
“Penyertaan dalam Wawasan membuka ruang baharu untuk meneruskan perjuangan yang memberi penekanan kepada penyatuan ummah, perpaduan masyarakat dan pembelaan nasib rakyat.
"Parti boleh berubah, wadah perjuangan boleh bertukar, tetapi janji saya kepada rakyat tetap menjadi tanggungjawab yang mesti ditunaikan. Saya tidak akan meninggalkan masyarakat yang selama ini bersama saya.
"Selagi Allah memberikan kesihatan, kekuatan dan rezeki, saya akan terus membantu mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemui selepas program Lenggang Warisan Melaka di Duyong.
Hadir sama Setiausaha Agung Wawasan Saifuddin Abdullah.
Bagaimanapun, Jefry menegaskan perubahan wadah politik itu tidak akan menjejaskan komitmennya untuk terus mendekati masyarakat dan membantu golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang, bangsa atau fahaman politik.
"Saya mungkin meninggalkan Bersatu tetapi saya tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk rakyat. Jawatan dan parti bukanlah segala-galanya, apa yang lebih penting ialah keikhlasan, amanah dan tanggungjawab kita kepada masyarakat," katanya.
