Polis Kuala Muda menahan enam individu termasuk empat warga Bangladesh selepas menyerbu sindiket penipuan permainan dalam talian di Sungai Petani.
SUNGAI PETANI: Polis menahan enam individu termasuk empat lelaki Bangladesh kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan permainan dalam talian menggunakan tawaran ganjaran tidak wujud, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata sindiket beroperasi di sebuah hotel terbiar di Taman Lagenda Indah dekat sini yang aktif dari Jun lepas diserbu pada 9.30 malam Rabu lepas.
“Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menahan empat lelaki Bangladesh berusia 20 hingga 53 tahun.
“Kumpulan itu menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Bangladesh dan suspek dipercayai menerima upah RM2,700 sebulan,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda di sini hari ini.
Hanyan berkata siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 40 dan 50 tahun dalam serbuan pada Jumaat lepas dipercayai pemilik premis serta ejen yang menguruskan proses sewaan kepada suspek.
Sindiket itu dipercayai mengendalikan urusan tambah nilai mata permainan dalam talian dan menggunakan sebuah laman web serta WhatsApp untuk berkomunikasi dengan pelanggan.
“Pengeluaran wang kemenangan pelanggan sengaja ditangguh dengan status pending withdrawal menyebabkan mereka tidak menerima wang tersebut.
“Berdasarkan keterangan awal, kira-kira 17 akaun pelanggan dipercayai berhadapan masalah itu sehari dengan anggaran kerugian kira-kira RM2,000,” katanya.
Hanyan berkata polis merampas pelbagai peralatan termasuk 17 unit telefon bimbit, empat unit pemprosesan komputer (CPU), lapan monitor, dua modem, sebuah komputer riba serta wang tunai RM2,442.
Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
