KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan mempercepat perancangan dan proses membuat keputusan mengenai tenaga nuklear, bagi mengurangkan kebergantungan serta kerentanan Malaysia terhadap kejutan pasaran minyak dan gas global.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Wan Fayhsal berkata, pergolakan di sekitar Selat Hormuz serta ketidaktentuan global yang semakin meruncing membuktikan keperluan mendesak untuk Malaysia merangka strategi tenaga jangka panjang yang berwibawa.
“Minyak dan gas akan terus jadi cabaran bagi ekonomi kita. Sudah tiba masanya Malaysia mengambil langkah yang serius dan konsisten ke arah usaha membangunkan loji jana kuasa nuklear pertama negara,” katanya.
Wan Fayhsal berkata, sebarang program nuklear pada masa depan menuntut ketegasan dasar serta persediaan jangka panjang, mengambil kira tempoh yang diperlukan untuk mewujudkan kerangka kawal selia, melatih kepakaran, menilai teknologi dan tapak, menjamin pembiayaan, selain membina keyakinan orang ramai.
“(Usaha) membina loji jana kuasa nuklear berskala mega memakan masa yang lama. Ia memerlukan keputusan berani daripada kerajaan serta persediaan rapi jangka panjang,” kata ketua penerangan Wawasan itu.
Beliau menambah, ketiadaan hala tuju yang jelas mengenai tenaga nuklear dalam belanjawan negara dikhuatiri mengekalkan kitaran sama, iaitu krisis global melonjakkan kos bahan api, kerajaan berdepan tekanan hebat untuk terus menampung subsidi petrol dan diesel, manakala kewangan awam akhirnya menanggung beban tersebut.
“Jika alternatif nuklear ini tidak ditangani secara tuntas dalam Belanjawan 2027, saya bimbang kita akan terus ulang skrip serupa, dengan perbelanjaan subsidi bahan api kian melambung sehingga menjejaskan masa depan negara,” katanya.
Beliau menggesa Putrajaya mempercepat reformasi sektor tenaga serta meletakkan keutamaan yang lebih mendesak terhadap perancangan bagi membina loji jana kuasa nuklear pertama negara.
Gesaan itu hadir di tengah-tengah ketidaktentuan berhubung hala tuju tenaga nuklear kerajaan. Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyasarkan penjanaan kuasa nuklear mula beroperasi menjelang 2031, namun Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof sebelum ini menyatakan keputusan muktamad sama ada menerima pakai tenaga nuklear hanya akan dibuat selepas 2030.
Kerajaan kini sedang meneliti teknologi bersesuaian, potensi lokasi, pembiayaan, kawal selia, kesan alam sekitar, aturan keselamatan, penerimaan awam serta pembangunan kepakaran tempatan.
Putrajaya turut mempertimbangkan reaktor modular kecil, yang bersaiz lebih kompak berbanding loji konvensional dan boleh dibangunkan secara berperingkat.
Setakat ini, belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai pilihan teknologi, kapasiti mahupun lokasi fasiliti itu.
Wan Fayhsal berkata, isu utama bukanlah tergesa-gesa memulakan pembinaan, sebaliknya memastikan Malaysia tidak menangguhkan keputusan sehingga dihimpit krisis tenaga.
Menurutnya, Malaysia mesti bersedia menghadapi lonjakan permintaan elektrik berikutan percambahan pusat data, kecerdasan buatan (AI), peralihan ke arah elektrifikasi serta sektor pembuatan termaju, di samping mengurangkan pendedahan kepada pasaran bahan api fosil yang tidak menentu.
“Malaysia perlu mempercepat pembaharuan tenaga, diiringi perancangan rapi bagi loji jana kuasa nuklear pertama kita,” katanya.
