SINGAPURA: Singapura akan mengeluarkan notis langkah pencegahan di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) kepada tujuh syarikat di Indonesia yang disyaki terbabit dalam kebakaran hutan sehingga memburukkan jerebu, kata Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Grace Fu.
Beliau berkata notis itu akan dikeluarkan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA), susulan siasatan berterusan terhadap syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas sempadan di Singapura.
"Siasatan kami setakat ini menunjukkan bahawa sebahagian daripada jerebu yang dialami di Singapura berpunca daripada kebakaran di kawasan tanah milik tujuh syarikat di Indonesia.
“Sekiranya wajar, kami akan mengambil tindakan lanjut di bawah THPA berdasarkan maklumat dan bukti yang ada," katanya pada sidang media.
Menurut Fu, notis itu menghendaki syarikat berkenaan mengatur gerak anggota pemadam kebakaran untuk memadam kebakaran di tanah yang dimiliki atau diduduki mereka serta mencegah kebakaran daripada merebak.
Syarikat terbabit juga dikehendaki menghentikan atau tidak memulakan sebarang aktiviti pembakaran serta mengemukakan pelan tindakan kepada NEA yang menggariskan langkah untuk memadam kebakaran di tanah mereka dan mencegah kejadian berulang.
Sementara itu, Fu berkata keadaan jerebu di Singapura dijangka berterusan untuk beberapa ketika dengan kualiti udara kekal berubah-ubah, termasuk kemungkinan mencapai tahap berbahaya.
"Bagaimanapun, apabila kita beralih ke tempoh antara monsun menjelang akhir Oktober atau awal November, keadaan dijangka bertambah baik, iaitu kira-kira tiga hingga empat minggu lagi.
"Kami menjangkakan angin di sekitar Singapura ketika itu menjadi lebih lemah dan berubah-ubah arah, sekali gus mengurangkan kemungkinan jerebu dari Sumatera atau Kalimantan dibawa ke Singapura," katanya.
Setakat 7 malam tadi, data NEA menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam terus merosot dengan tiga kawasan mencatat tahap kualiti udara sangat tidak sihat.
PSI 24 jam berada pada 225 di kawasan tengah, 202 di barat, 201 di timur, 183 di selatan dan 161 di utara.
Dalam pada itu, Fu berkata pengagihan pelitup muka N95 kepada rakyat Singapura yang rentan menerusi 37 mesin layan diri akan dilaksanakan sepenuhnya di seluruh republik itu pada Jumaat malam.
Mengenai bekalan pelitup muka, beliau memberi jaminan stok mencukupi tersedia di gudang peruncit dan dalam simpanan kerajaan.
"Pasukan petugas jerebu bekerjasama rapat dengan peruncit bagi memastikan pelitup muka tersedia kepada orang ramai dan kami memantau keadaan serta bekerjasama rapat dengan rakan kongsi untuk memastikan mereka yang memerlukan pelitup muka boleh mendapatkannya," katanya.
