LONDON: Seorang pemain tenis Serbia digantung daripada menyertai aktiviti sukan itu selama 24 tahun kerana mendalangi rangkaian rasuah dalam kegiatan mengatur perlawanan, lapor PA Media/dpa.
Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (Itia) memaklumkan Stefan Milicevic, 29, mengatur enam perlawanan, termasuk lima perlawanan disertainya, selain cuba mengatur enam lagi perlawanan antara 2022 hingga 2024.
Menurutnya, Milicevic turut didakwa merekrut atau cuba merekrut beberapa pemain profesional menyertai rangkaian rasuah itu dalam tempoh sama, sehingga menyebabkan beberapa pemain lain turut mengatur perlawanan.
Milicevic, yang pernah mencapai kedudukan tertinggi di tempat ke-1,338 dalam ranking ATP, tidak memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan dan beliau didenda USD70,000.
Itia memaklumkan sepanjang tempoh penggantungan itu, Milicevic tidak dibenarkan bermain, melatih atau menghadiri sebarang acara anjuran atau diluluskan World Tennis, Persatuan Tenis Wanita, Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP), penganjur kejohanan Grand Slam atau mana-mana persatuan tenis kebangsaan.
Tempoh penggantungan beliau secara rasmi berakhir 8 Okt 2050.
