PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, menggesa orang ramai berhenti menyerang peguam yang mewakili dua pegawai polis Cawangan Khas dalam kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Shuhaily Zain.
"Tugas peguam Kamal Hisham perlu dihormati. Sedangkan orang yang dituduh pelbagai kesalahan besar jenayah dengan hukuman mati sekalipun, berhak mendapatkan khidmat peguam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Kamal diserang di media sosial, dengan latar belakang peribadi dan kes lama dijaja seolah-olah Kamal seorang peguam yang tidak berwibawa dan tiada integriti.
Hassan, yang juga seorang peguam, berkata beliau pernah mewakili Kamal dalam kes berprofil tinggi yang membabitkan pemerintah Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kira-kira 11 tahun lalu.
“Kamal akhirnya mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Syarikat dan didenda RM30,000 selepas menghabiskan hampir dua tahun dalam tahanan reman.”
Hassan berkata beliau menasihati Kamal supaya mengaku bersalah selepas mempertimbangkan tempoh tahanannya yang panjang, keadaan keluarganya dan sifat kes tersebut.
"Kamal hanya bersetuju mengaku salah terhadap satu pertuduhan sahaja iaitu pertuduhan yang paling ringan, yang hanya dikenakan denda dan tidak ada hukuman penjara," katanya.
Hassan berkata komunikasi antara peguam dengan anak guamnya dilindungi oleh undang-undang dan tidak boleh didedahkan kepada umum tanpa persetujuan anak guam.
Beliau turut menggesa Majlis Peguam mempertahankan peguam yang diserang secara tidak adil di media sosial.
Shuhaily mengaku tidak bersalah pada Rabu atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua pegawai polis di Terminal 1 KLIA pada 28 Sept.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah Majistret membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM3,000 dan menetapkan 25 Nov untuk pengurusan kes.
