PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan 22 pihak lain merayu di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM160,000 kepada peguam serta aktivis, Siti Kasim susulan penahanan salah pada 2016.
Peguam Persekutuan Kanan, Ng Siew Wee yang mewakili Jawi, 15 pegawainya dan tujuh pihak lain, memaklumkan mahkamah pegawai terbabit hanya menguatkuasakan fatwa dan kesilapan undang-undang yang dilakukan secara jujur tidak patut dianggap salah laku jawatan awam secara automatik.
"Kesilapan undang-undang secara jujur bukanlah satu salah laku awam," katanya menurut Berita Harian.
Jelasnya, tiada bukti mencukupi menunjukkan pegawai Jawi yang membuat laporan polis terhadap Siti mempunyai motif tidak jujur untuk menyebabkan wanita itu didakwa atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam.
Beliau berhujah hakim Mahkamah Tinggi tidak konsisten dalam menilai keterangan defendan dan menggunakan rekod prosiding jenayah terdahulu.
Tetapi, peguam A Saha Deva yang mewakili Siti berkata, pegawai terbabit meneruskan serbuan tanpa mengambil kira persoalan mengenai kuasa undang-undang mereka.
"Mereka tidak mempedulikan sama ada mempunyai kuasa atau tidak, mereka tetap menjalankan serbuan itu," katanya sambil mempertahankan dapatan Mahkamah Tinggi berhubung salah laku jawatan awam dan menegaskan tindakan pegawai itu perlu dinilai berdasarkan keseluruhan keterangan dikemukakan.
Kes ini bermula 3 April 2016, apabila Siti ditahan Jawi yang menyerbu sebuah majlis makan malam kutipan dana tertutup. Beliau dibawa ke IPD Dang Wangi dan ditahan kira-kira empat jam sebelum dibebaskan.
Siti kemudiannya didakwa menghalang seorang pegawai Jawi menjalankan tugas rasmi, tetapi dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret pada Ogos 2020 selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadapnya.
Siti memfailkan saman sivil terhadap Jawi dan kerajaan pada September 2019, menuntut ganti rugi atas penahanan salah, dengan berkata beliau hanya menjalankan tugasnya sebagai peguam semasa serbuan.
Pada 18 Julai 2025, Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kepadanya dan menganugerahkan ganti rugi RM160,000 serta kos guaman RM100,000.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Noorin Badaruddin, bersama Hakim Shahnaz Sulaiman dan Meor Hashimi Abdul Hamid, menetapkan 5 Nov bagi pengurusan kes untuk menentukan tarikh keputusan rayuan itu diumumkan.
