PETALING JAYA: Sebanyak 251 kes kesalahan seksual melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dilaporkan berlaku dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.
Beliau berkata statistik daripada polis itu menunjukkan bahawa keselamatan seksual dalam persekitaran pendidikan memerlukan perhatian serius dan tindakan berterusan, lapor Bernama.
"Dalam menangani isu ini, kita bukan sahaja perlu mengetahui cara melindungi diri, tetapi juga memahami kaedah untuk membantu orang lain dengan betul," katanya yang dipetik sebagai berkata.
Katanya, inisiatif Skuad Waja Siswa yang membawa maksud Wanita Anti Jenayah yang ditubuhkan kementerian adalah untuk menggalakkan penglibatan sukarelawan dan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran serta membantu menangani keganasan terhadap wanita.
Lim berkata keganasan terhadap wanita dan gangguan seksual merupakan isu serius yang tidak boleh dipandang ringan dan perkara itu bukan sahaja berlaku dalam bentuk fizikal, malah boleh merangkumi ugutan, penghinaan, manipulasi emosi, kawalan kewangan dan gangguan seksual.
"Penting untuk semua mengetahui bahawa terdapat saluran untuk mendapatkan bantuan dan pembelaan dan saya berharap pendedahan melalui program ini dapat membantu mahasiswa memahami hak mereka serta mengetahui langkah yang boleh diambil sekiranya berhadapan dengan gangguan seksual," katanya.
Setakat September, sebanyak 340,667 sukarelawan menyertai Skuad Waja di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 264,461 orang ialah golongan wanita, manakala 76,206 orang ialah peserta lelaki.
