Polis merampas 88,460 liter diesel bernilai RM457,338 dalam serbuan di premis syarikat logistik di Rantau, Negeri Sembilan, dengan nilai keseluruhan rampasan RM1.269 juta
JOHOR BAHRU: Polis merampas 88,460 liter minyak diesel bernilai RM457,338 selepas menyerbu sebuah premis syarikat logistik di Jalan Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor ACP Noor Azman Jamal berkata rampasan menerusi operasi Unit Risik Marin (URM) Johor dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan pada 11.30 pagi dilaksanakan hasil maklumat awam.
“Pemeriksaan mendapati jumlah simpanan diesel yang dijumpai di dalam lori tangki, skid tank dan square tank di premis itu melebihi daripada had yang dibenarkan.
“Pihak premis juga gagal mengemukakan buku stok semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Azman berkata pemeriksaan mendapati lelaki berusia 36 tahun yang juga pemilik premis mempunyai dokumen mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyimpan bahan api itu mengikut kuantiti dibenarkan.
Beliau berkata dalam operasi itu, polis merampas dua lori jenis Mitsubishi Fuso dan Isuzu, skid tank berkapasiti 20,000 liter (tiga), skid tank 10,000 liter (dua) serta sebuah square tank, menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk diesel dianggarkan RM1.269 juta.
Noor Azman berkata pemilik premis serta barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat KPDN Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
