PETALING JAYA: Pihak berkuasa Hong Kong menahan seorang lelaki warga China yang tiba di lapangan terbang bandar itu dari Pulau Pinang selepas dikesan membawa 2kg dadah disyaki kokain dalam bagasinya.
Kastam Hong Kong dalam kenyataan, memaklumkan suspek berusia 25 tahun itu ditahan pada Khamis lalu selepas pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuknya menemui dadah berkenaan, lapor Berita Harian.
Suspek kemudian didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya dan kes berkenaan dijadual disebut di Mahkamah Majistret Kowloon Barat, hari ini.
Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah boleh membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan denda HK$5 juta (RM2.7 juta) jika sabit kesalahan.
Ini merupakan kes terbaharu rampasan dadah di luar negara yang disyaki diseludup masuk atau melalui Malaysia.
Kes terbesar dilaporkan pada Julai selepas seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Indonesia, selepas didapati memiliki 25kg pil ekstasi dan 2.7g metamfetamina.
Beberapa kes lain yang melibatkan rakyat Malaysia cuba menyeludup dadah turut dilaporkan, termasuk lima individu yang ditahan di Lapangan Terbang Haneda di Tokyo, Jepun, awal bulan ini kerana cuba menyeludup 1kg kokain yang disembunyikan di bawah lapik kasut.
