PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dengan polis untuk menyiasat isu tunggakan hutang RM314 juta MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
SPRM berkata pihaknya menerima aduan rasmi berkaitan isu itu pada Rabu lalu dan akan bekerjasama rapat dengan polis untuk berkongsi maklumat mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Polis akan menyalurkan apa-apa maklumat sekiranya wujud elemen rasuah untuk tindakan SPRM selanjutnya.
"SPRM mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat lanjut berkaitan isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
JPJ menggantung MyEG dan Zetrix, yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Bhd, sebagai ejen kutipan fi dan saman selepas didedahkan bahawa kedua-dua syarikat itu mempunyai tunggakan berjumlah ratusan juta ringgit kepada jabatan berkenaan sejak Mei.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata Zetrix berhutang RM314 juta kepada JPJ dan telah dikeluarkan 35 notis tuntutan bayaran.
Loke turut berkata Zetrix mengemukakan cek bernilai RM231 juta pada Ogos, tetapi pihak bank kemudian memaklumkan kepada JPJ bahawa cek itu tidak dapat diproses atas arahan syarikat berkenaan.
Zetrix kemudiannya mengemukakan cadangan untuk menangani tunggakan itu dengan menyatakan bahawa keutamaan segera syarikat adalah menyelesaikan obligasi berkenaan dan berusaha memulihkan perkhidmatan yang digantung.
